Posted by: y4ku24 | November 6, 2010

(TMF) Psikologi dan Ketaatan: Kenapa kamu tak tembak?!

 

 

 

[Update blog: Julung-julung kalinya TMF aku buat back-to-back. Jujurnya, membuat satu TMF amtlah meletihkan! Sudah dulu TMF, selepas ini yang ringan-ringan pula!]

Pernah sekali aku menonton dokumentari berkenaan peperangan di era peperangan kemerdekaan Amerika (American war of independence) yang tercetus di antara tentera Amerika dan Great Britain sekitar tahun 1775-1783. Pada satu babak, pakar peperangan di dalam dokumentari itu memberi penjelasan tentang sebilah senapang yang agak misteri.

Zaman itu, senapang yang ditembak perlu diisi dengan belerang dari hujung muncungnya dan dipadatkan, sebelum ianya boleh ditembak. Selepas ditembak, senapang yang kehabisan belerang perlu direload untuk tembakan seterusnya. Apa yang menarik tentang senapang peninggalan sejarah itu ialah, apabila diperiksa, didapati rupa-rupanya senapang itu diisi penuh dengan belerang! Dalam erti kata lain, si empunya senapang itu tidak menembak walau sedas pun tembakan, tetapi akan sentiasa mengisi dan memadatkan senapangnya dengan belerang.

Majoriti besar akan menganggap bahawa senapangnya rosak, jadi tak dapat nak tembak. Tetapi setelah diperiksa, senapang itu boleh berfungsi dengan baik.

Sungguh menghairankan.

Jadi, apakah sebab utama si empunya senapang tak tembak?

Setelah dianalisa, pakar perang tersebut telah membuatkan suatu andaian yang bagiku sungguh menarik. Si empunya senapang tidak tembak kerana tak sanggup untuk membunuh musuh, kerana sama-sama manusia. Jadi, disepanjang peperangan, dia berlakon seolah-olah menembak dan mengisi belerang baru, tetapi sebenarnya sedas pun tak ditembak, kerana naluri manusianya tak sanggup untuk mencederakan manusia yang lain! Akhirnya diri sendiri terbunuh di medan peperangan tersebut.

Oh, rupanya ada juga segelintir askar yang masih tidak inginkan pertumpahan darah, walaupun dia ditugaskan untuk berperang.

Tetapi, bagaimana pula sebahagian besar yang lain? Kenapa mereka sanggup tanpa segan silu untuk pergi berperang dan berbunuhan sesama manusia, malah membunuh orang awam seperti yang berlaku di Baghdad dan Palestin, hanya dengan arahan pihak atasan?

Mungkin Stanley Milgram ada jawapannya.

FENOMENA KETAATAN

Seorang psikologis sosial terkenal bernama Stanley Milgram pada 1960-an telah menjalankan satu eksperimen yang amat kontroversi berkenaan ini. Beliau ingin mengkaji sejauh manakah peranan pihak berautoriti (pihak atasan), dan sejauh manakah tahap ketaatan yang mampu ditunjukkan oleh pihak bawahan. Kali ini, biar video yang menerangkan. Berikut adalah eksperimen tersebut (maaf, tiada contoh dalam Bahasa Malaysia!):

[1] Kerana ianya telah dirancang, para volunteer akan sentiasa mendapat posisi ‘cikgu’.

[2] Eksperimen ini, jika diteruskan sehingga ke voltan kejutan elektrik terakhir, memang boleh mengakibatkan kematian!

[1] Perempuan yang biasa pun seolah-olah tidak berhati perut untuk memberi kejutan elektrik terhadap kawan barunya, hanya kerana ianya arahan pihak atasan!

[2] ‘Saintis’ di atas tidak akan menghalang mereka yang benar-benar ingin berhenti. Tetapi sebelum itu, mereka akan diberi ‘kata-kata semangat’, seperti ‘It’s essential that you continue (adalah mustahak untuk kamu teruskan)’ dan ‘The experiment requires that you continue (eksperimen ini memerlukan anda untuk meneruskannya)’. Majoriti peserta merasa ‘lega sedikit’ dan akan teruskan eksperimen, kerana pihak berkuasa akan bertanggungjawab atas eksperimen tersebut, bukan mereka.

[3] 9/12 orang telah memberi kejutan elektrik sehingga 450 volts, yang memang boleh membawa maut!

Lelaki di 1.50 memberi contoh yang baik, iaitu apabila askar/saintis nazi ditangkap ketika pihak axis kalah, mereka semua cuba melepas tangan daripada kekejaman yang dilakukan dengan menyebut “Ianya arahan dari orang atas, saya hanya mengikut perintah”. Semua cuba lari dari tanggungjawab!

Kesimpulan besar daripada eksperimen ini ialah, Stanley Milgram telah membuktikan bahawa dengan arahan ‘pihak atasan/berautoriti’ (walaupun sekadar seorang saintis) yang dianggap lebih berkuasa dan bertanggangjawab, sesiapa saja (mungkin juga termasuk kita!) boleh melakukan kekejaman (seperti membunuh atau menyeksa), walaupun ianya bertentangan dengan naluri diri sendiri.

AUTORITI YANG MAHA AGUNG

Semua sedia maklum bahawa nyawa itu amatlah berharga, dan tidak boleh membunuh sesuka hati. Itu hukum asalnya, kerana nyawa itu kurniaan Allah swt. Sungguh teliti ajaran Islam, sehinggakan ketika kita ingin ‘membunuh’ binatang untuk dimakan juga mempunyai kaedah tertentu, dan bukan secara semberono, kerana setiap nyawa, walaupun sekadar binatang, tidak boleh diambil tanpa izin Pemiliknya dan perlu mengikut kaedah tertentu (pisau perlu tajam, tidak boleh asah pisau di depan binatan tersebut, dan lain-lain).

Begitu juga dengan peperangan, dimana umat Islam tidak boleh secara semberono membunuh orang bukan Islam, tanpa justifikasi yang sahih. Walaupun bukan Islam, nyawanya tetap hak milik Allah!

OSAMA DAN 9/11

Amat malang sekali, ramai di kalangan orang Islam sendiri telah mengambil mudah tentang perkara ini. Seruan berjihad disalahtafsirkan, dan ayat-ayat al-Quran berkenaannya dijadikan bahan justifikasi ‘arahan daripada Allah’ untuk membunuh orang sewenang-wenangnya. Yang paling ketara ialah isu 9/11. Ya, mungkin ramai yang akan membangkang bahawa 9/11 itu bukan perbuatan orang Islam. Tetapi jangan lupa yang Osama juga yang mendabik dada mengatakan yang dialah perancang utama.

Sehinggakan impak sekarang ialah, ingat sahaja Islam, ingat terror.

Bagaimanakah ingin kita tonjolkan bahawa Islam itu juga bermaksud selamat?

Benar, memang hikmah besar, sehinggakan insiden memungkinkan ramai masyarakat Barat menerima hidayah dari Allah swt dan memeluk Islam. Hidayah dari Allah, usaha dari kita. Tetapi adakah dengan memberi ketakutan itu boleh menginsafkan masyarakat?

Atau sekadar ingin mengambil jalan mudah, dengan menyamaratakan semua orang ‘halal dibunuh’, kecuali ahli kumpulan mereka, seperti yang berlaku di Afghanistan. Apabila tentera Rusia dapat dikalahkan kerana kesatuan umat Islam, akhirnya umat Islam berbunuhan sesama sendiri kerana ingin mengambil tampuk kepimpinan. Sesetengahnya atas dasar yang kumpulan saudara Islam lain itu telah ‘terpesong’, dan mereka saja yang benar.

Dan sehingga kini, masih lagi berlaku letupan di negara umat Islam sendiri yang didalangi oleh orang Islam juga, sesetengahnya beralasan masyarakat Islam sudah rosak dan terpesong, dan ‘halal’ dibunuh disebabkan itu.

Terlupakah mereka bahawa Nabi saw pernah bersabda:

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak bersabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu.”

[Al-Tirmidhi 2507, Ibn Majah 4032]

Terlupakah juga mereka bahawa Nabi saw serta para sahabat berada di barisan hadapan ketika bertempur dengan musuh? Jantankah sekadar letup di sana, letup di sini? Kalau ada saudara Islam, atau kanak-kanak yang tidak bersalah juga terbunuh, tidak berdosa besarkah mereka?*

*     *     *     *     *

KESIMPULAN

Anak taat ibu bapa. Ibu bapa taat ketua kampung. Ketua kampung taat wakil rakyat. Wakil rakyat taat Menteri Besar. Menteri besar taat Perdana Menteri. Perdana Menteri taat siapa?

Islam telah meletakkan garis panduan bahawa Allahlah autoriti agung yang harus ditaati. Selepas itu, ketaatan adalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang mendapat bimbingan dari Allah s.w.t. sendiri. Manusia kadangkala kerap melakukan kesalahan sebagai pemimpin, kerana itulah fitrah manusia, tidak sempurna. Itulah sebabnya autoriti agung bukan terletak kepada kepimpinan tertinggi, tetapi berbalik kepada Allah dan Rasul. Jika berhenti pada mereka, maka sudah pasti pimpinan akan mentadbir dengan acuan sendiri.

Dalam hal ini, sejauh manakah kita ini sebagai pemimpin merujuk al-Quran dan Sunnah untuk memastikan diri berada di landasan yang benar dan tidak memberi arahan yang bercanggah dengan Islam, perlulah sama-sama kita perhalusi, semoga tidak dipersoalkan di akhirat kelak.

Taat Allah dan Rasul, perlu sentiasa. Taat manusia, adakalanya perlu disanggah.

Itulah ajaran Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul, dan pemimpin di kalangan kamu” [Surah An-Nisa’, ayat 59]

Perkataan taat hanya berulang dua kali, dan tiada perkataan taat di hadapan perkataan pemimpin, bermakna perintah Allah dan Rasul wajib ditaati secara MUTLAK, manakala kepada pemerintah adalah TIDAK secara mutlak. (Tafsiran ulama-ulama tafsir)

*     *     *     *     *

Jika korang suka entri ini, korang mungkin juga akan suka entri-entri berikut:

1) The Bystander Effect

2) Teori Tingkap Pecah

Korang juga boleh cari satu lagi eksperimen yang ‘kembar’ kepada eksperimen Stanley Milgram ini, iaitu The Stanford Prison Experiment oleh Dr Philip Zimbardo di youtube. Amat menarik. Check it out!

Cuba tonton juga dokumentari bersiri, The Power of Nightmares oleh Adam Curtis. Bes gile!

*Ini adalah bentuk ucapan umum, di mana aku kecualikan kes suicide bombings di Palestin di dalam contoh ini. Perbahasannya panjang, mungkin perlukan satu lagi entri TMF untuk ini sahaja!

-y4ku24-


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: